31 May 2011

Sajak Persaraan

Majlis Persaraan bonda yang diadakan di Ponderosa Golf & Country Resort, Johor Bahru pada 26 Mei 2011 sungguh menyentuh hati dan pastinya menjadi memori indah pada bonda. Pada majlis itu bonda telah mendeklamasikan sajak sebagai pengakhir bicara seperti di bawah ini:-

Bak Air Yang Mengalir

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu,
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku.

Berdiri melihat denai-denai kenangan,
Berbunga mesra dalam jambangan ingatan,
Barangkali terdengar-dengar nanti,
Suara bisikan melankolia,
Ucap salam anak-anak kecil manja,
Tegur sapa, senyum tawa rakan sekerja.

Tiba waktunya untuk menyusun jemari,
Membuang segala kerikil bersalut di hati,
yang terkhilaf dimaafi,
yang sesal diinsafi,
yang lebih dibahagi,
yang kurang dilengkapi,
Agar saat perpisahan ini indah,
Terlerai segala durja gundah,
Tersirna cebisan amarah,
Terurai segala yang bercanggah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Pasti tersisa kenangan yang terindah,
Berhias luka tidak berdarah,
Kesementaraan waktu mengutus seribu bumbu,
Kerana sekali dipanggil guru,
Selamanya aku adalah guru.

Selamat tinggal suara-suara ceria,
Rakan sekerja, teman bergurau senda,
Padang perhimpunan dan dewan perkasa,
Bilik darjah dan anak-anak keletah pelbagai bangsa,
Pejabat tugas dan pembantu ikhlas,
Bilik guru dan timbunan buku,
Ruang kantin tempat mesra terjalin.

Selamat tinggal seribu kerenah,
Datang dan pergi pelbagai wajah,
Bercampur gembira bersisip gundah,
Bergema didikan beralas madah,
Selamat tinggal sebuah tempat bernama sekolah.

Selamat datang persaraan,
Kerana segalanya hanya kesementaraan,
Melengkapi perjalanan, sebuah kehidupan.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua di muara waktu,
Di sini aku pasti merindu,
Kesibukan tugas seorang guru,
Terasa sedih berbekam pilu,
Rutin 32 tahunku akan berlalu,
Namun...pasti aku tersenyum sipu,
Pabila terkenang memori lalu.

Seribu kesyukuran pada Illahi,
Moga hidupku terus diberkati,
Bersama keluarga yang dikasihi,
Agar terpelihara kesihatan diri.

Duhai teman-teman...
Iringi daku dengan doa ikhlas tulus di hati,
Sejahtera dan bahagia,
Dalam sisa-sisa yang masih berbaki.

Jeling-jelinglah daku jika rindu masih bertamu,
Sapa-sapalah daku andai mesra akrab berpadu.

Sudah sampai saat dan tika,
Pergi dengan keredhaan di hati,
Moga ilmu yang dicurah setulus jiwa,
Akan diberkati oleh Illahi.

Selamat tinggal teman-teman seperjuangan,
Iringi daku dalam doa berkat,
Tanpa benci, amarah dan muslihat,
Lepaskan daku dengan senyum mesra,
Senyuman seindah sinaran suria.

Bak air yang mengalir,
Sampai di sini kenangan indah pasti terukir.

26 Mei 2011
Ponderosa Golf & Country Resort

12 comments:

  1. saya mohon share puisi...suka dgn kata kata indah Puan.

    ReplyDelete
  2. Sajak by Dr Ghazali Lateh kan??..sy penah deklamasi sajak ni smsa majlis persaraan bos sy..hehehe..mmg menyentuh jiwa..

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. Salam Tuan. Sekiranya puisi ini adalah hasil ciptaan tuan, mohonkan saya kongsi untuk kegunaan guru sekolah yang akan bersara. Tahniah atas penghasilan puisi yang indah ini. Mohon maklumbalas tuan. Terima kasih

      Delete
    2. Salam. Ini puisi saya. Sila gunakan jika bersesuaian.

      Delete
  4. Mohon share. Saya akan deklamasikan dimajlis persaraan saya. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mohon share karya tuan untuk majlis persaraan saya sebagai guru.Terima kasih

      Delete
  5. Assalam tuan...Saya juga mohon untuk share sajak tuan ini untuk majlis persaraan sahabat saya nanti. Bait² puisi ini sangat indah dan sangat bersesuaian dengan suasana di majlis persaraan seorang guru.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum tuan, saya ingin mohon share sajak ciptaan tuan untuk majlis persaraan saya. Saya dahului ucapan terima kasih.

    ReplyDelete
  7. Assalam Tuan, izin kan saya menggunakan sebahagian nya untuk majlis persaraan..saya dahului dengan uncapan terima kasih.

    ReplyDelete